NBD-Republik Demokratik Timor-Leste terus kukuhkan hubungan kerjasama



​​Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sebagai rakan kongsi rapat, Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Demokratik Timor-Leste berada dalam kedudukan yang baik bagi memperkukuh kerjasama, sama ada secara dua hala mahupun dalam ASEAN dengan cara praktikal, konstruktif dan berpandangan jauh.


Justeru, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dokumen-dokumen yang ditandatangani semasa lawatan ini mencerminkan komitmen bersama.


Ia, titah baginda lagi, melambangkan kemajuan konkrit dalam memperkukuh perkongsian dan menyokong pembangunan berterusan selain menyediakan asas bagi manfaat yang ketara dan berkekalan bagi rakyat di kedua-dua buah negara.


“Memandang ke hadapan, Negara Brunei Darussalam kekal komited sepenuhnya untuk bekerjasama rapat bersama Republik Demokratik Timor-Leste dalam merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2045," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Persantapan Rasmi yang diadakan bagi meraikan Lawatan Rasmi Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste berlangsung di Baiturrrahmah, Istana Nurul Iman, hari ini.


Terdahulu, baginda bertitah dengan penuh sukacita mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Kay Rala Xanana Gusmão serta delegasi ke NBD.


Lawatan ini, titah baginda, membawa makna yang signifikan. Ia berlangsung pada saat yang penting bagi Republik Demokratik Timor-Leste, susulan penyertaannya yang bersejarah ke dalam ASEAN sebagai anggota ke-11, satu pencapaian yang mencerminkan bukan sahaja kejayaan tetapi juga keazaman teguh.


Baginda bertitah lagi, perjalanan Republik Demokratik Timor-Leste dalam menyertai ASEAN bukan suatu yang mudah. Ia memerlukan ketabahan, disiplin dan komitmen yang tidak berbelah bahagi.


“Pencapaian ini merupakan bukti kepimpinan Tuan Yang Terutama Perdana Menteri dan keazaman rakyat untuk menjamin kestabilan dan kemakmuran masa depan. Hari ini, keahlian Republik Demokratik Timor-Leste dalam ASEAN bukan sahaja sebagai pemerhati, tetapi sebagai peserta dan yang penting, sebagai penyumbang yang bersedia untuk memperkukuh daya tahan kolektif kita dan membantu membentuk masa depan rantau ini," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia.


Kebawah DYMM bertitah, ketegangan yang berlaku baru-baru ini di Teluk Parsi menunjukkan bagaimana perkembangan di satu rantau boleh memberi implikasi yang cepat dan meluas terhadap keamanan, keselamatan dan kestabilan ekonomi di rantau lain.


Dalam konteks ini titah, Kebawah DYMM, komitmen kita terhadap kerjasama serta prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Piagam ASEAN dan undang-undang antarabangsa perlu kekal teguh, konsisten dan berwibawa dalam usaha memajukan aspirasi bersama ASEAN.


Dalam mengakhiri titah, baginda merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada TYT Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, kerajaan dan rakyatnya sempena persiapan menyambut 24th Independence Restoration Day pada penghujung bulan ini.


Close